Aidiladha lebih meriah di Kelantan, Terenggganu?



Tazkirah Remaja: Aidiladha lebih meriah di Kelantan, Terenggganu?
Bersama Mohd Zawawi Yusoh

2009/12/30

HARI ini kita merayakan Aidiladha. Suasana takbir dan ziarah menziarahi masih rancak dan hangat diadakan.


Upacara ibadat korban pula masih menjadi temasya yang menjadi tarikan utama kanak-kanak dan remaja.

Dalam acara korban, kita dapat melihat dari dekat bukan saja binatang ditarik, diikat serta disembelih, tetapi bagaimana pengagihan daging korban berlangsung.


Namun, dalam kemeriahan ini, ramai juga yang terpaksa menyambutnya dalam suasana kekurangan akibat banjir yang berlaku di beberapa kawasan.

Ada yang terpaksa meninggalkan rumah dan berpindah ke pusat pemindahan banjir. Didoakan semoga mereka bersabar dan tabah menghadapi ujian itu.

Oleh kerana penulis berasal dari pantai timur apabila mahu pulang ke kampung halaman untuk beraya haji, warga kota sering mengatakan raya haji di Terengganu dan Kelantan lebih meriah daripada sambutan Aidilfitri.

Saya sendiri tidak dapat 'menangkap' apa makna lebih meriah berkenaan. Jika melihat kepada suasana dan jumlah warga kota pulang ke kampung, ia tidak semeriah mana.

Kemeriahan takbir dan ziarah menziarahi pula tidak sehebat sambutan Aidilfitri.

Malah, pengumuman jemputan rumah terbuka juga kurang kedengaran. Gedung membeli-belah juga tidak menawarkan jualan harga runtuh kepada orang ramai berbanding suasana sehari menjelang Aidilfitri yang mana mereka bersesak mendapatkan kelengkapan untuk digayakan pada pagi raya.

Penulis terpanggil untuk berkongsi idea - mana lebih meriah antara dua perayaan ini. Sebenarnya dalam Islam, Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan yang sangat besar maknanya kepada kita. Kedua-duanya dirayakan beriringan sempena ibadat rukun Islam.

Aidilfitri didahului dengan ibadat puasa manakala ibadat haji mengiringi Aidiladha. Cuma Aidiladha mempunyai kelebihan dari sudut falsafah serta tuntutannya. Namun kedua-duanya mempunyai kaitan serta pertalian.

Aidiladha juga digelar ibadat korban manakala Aidilfitri adalah hari raya 'bersih' iaitu kembali kepada fitrah. Maka kita tidak boleh berkorban jika masih belum bersih hati dan nurani.

Jadi sesiapa yang berjaya 'dibersihkan' dengan ibadat puasa pada Ramadan lalu akan sanggup pula berkorban bukan saja bahagian daging korbannya, tetapi sanggup berkorban ke Makkah bagi menunaikan haji.

Korban binatang sebenarnya bukan saja menyembelih binatang, tetapi sampai ke peringkat 'menyembelih' sifat 'kebinatangan' yang bersarang di jiwa.

Jika jumlah raya untuk Aidilfitri adalah sehari saja iaitu 1 Syawal, tetapi yang menjadikannya sebulan adalah disebabkan adanya rumah terbuka. Berbeza dengan Aidiladha, Allah s.w.t mewartakan sebanyak empat hari iaitu pada 10 Zulhijah diikuti dengan Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).

Begitu juga dengan jumlah hari bertakbir. Aidilfitri hanya satu malam dan setengah pagi iaitu tidak disunatkan lagi bertakbir selepas imam selesai membaca khutbah raya.

Untuk Aidiladha pula, kita boleh melaungkan takbir selama empat hari empat malam manakala diharamkan berpuasa pada 1 Syawal saja. Tetapi bagi perayaan Aidiladha kita diharamkan berpuasa selama empat hari.

Sebenarnya kemeriahan sambutan hari raya bukan hanya diukur berdasarkan pakaian baru, jumlah orang pulang ke kampung serta juadah yang dihidangkan.

Tetapi ia sangat bergantung dengan 'jiwa baru' yang ditampilkan seorang individu yang menjadi bukti kepada perubahan akhlak serta peribadinya.

No comments

Powered by Blogger.