hanyapadailahi on FB

Jika cinta kpd manusia menjauhkn kita dr Allah, maka cinta itu adalah palsu..[Ustaz Hasrizal Abdul Jamil]:::Sempurnakan dakwahmu walau ia sekecil perkara"

Di Persinggahan Kematian



Seringkali kita diziarahi petanda-petanda kematian di sekeliling kita, adakah kita mengambil peduli dengan semua petanda-petanda itu ataupun kita memandang petanda-petanda itu hanya sebagai sesuatu yang biasa saja?

Kadang, Allah tidak hantar petanda itu langsung kepada diri kita sendiri. Ada masa Allah menghantar petanda itu melalui manusia-manusia di sekeliling kita, agar dengan petanda-petanda itu, kita mengambil pengajaran dan mempersiapkan diri kita. Tetapi kita selalu terlupa dan lalai, memandang peristiwa-peristiwa yang dekat dengan kematian di sekeliling kita hanya sebagai satu peristiwa semata-mata.

Alangkah ruginya orang yang didatangkan ingatan demi ingatan daripada Allah s.w.t. tetapi dia memandangnya tidak lebih dari hanya sekadar sebagai halwa matanya saja.


Sipi-sipi Angin Kematian Mengingatkan Kita

Saya sendiri tidak tahu bilakah akan tiba masanya untuk Allah memanggil saya kembali kepadanya. Jauh atau dekat, entah, saya sendiri pun tidak tahu. Mungkin sebentar lagi, mungkin esok, mungkin ketika anda membaca artikel ini, saya pun mungkin sudah tidak ada lagi.

Tidak tahu. Saya tidak tahu. Tetapi, beberapa kali sepanjang kehidupan saya ini, angin-angin kematian sentiasa bertiup kencang di telinga kehidupan saya. Walaupun mungkin belum masanya ia menjemput saya, tetapi yang saya pasti, ia sentiasa datang mengingatkan saya.

Beberapa kali dalam kehidupan ini, saya telah diuji dengan penyakit yang agak kritikal sehingga menyebabkan saya dimasukkan ke dalam hospital serta menjalani beberapa kali pembedahan. Pastilah bila anda berada di hospital, anda bukanlah hidup bersama orang-orang yang sihat, sebaliknya anda dikelilingi oleh orang-orang sakit semuanya.

Ada sebahagiannya yang kritikal dan sudah nazak. Pernah suatu kali Subuh di hospital, saya dikejutkan dengan jeritan. Jeritan itu rupanya datang dari pesakit yang depan sedikit sahaja daripada katil saya, jeritan terakhir yang diiringi dengan hembusan nafas terakhir. Bukanlah sehari itu saja, bahkan selama beberapa hari itu, cerita-cerita kematian sentiasa mengelilingi masa-masa rehat saya di hospital.

Meskipun bukanlah saya yang dijemput pergi, tetapi bila melihat dan mendengar banyak kematian berdekatan dengan diri, sedikit sebanyak membuatkan jiwa kadangkala tersentap, mengingatkan persediaan kita yang sangat sedikit serta kederhakaan kita kepada Allah dan manusia yang begitu banyak pula. Sebab itulah, hati orang yang sakit ini mudah tersentuh, kerana hatinya banyak mendapat peringatan-peringatan langsung dari Allah di depan matanya sendiri dan pada dirinya sendiri.

Bukan semua pesakit yang keluar dari hospital itu keluar dengan perasaan gembira kerana mengetahui dirinya telah sihat semula. Ada pesakit yang keluar, tetapi keluar sebagai mayat menyebabkan kesedihan pada ahli keluarganya. Ada pesakit yang keluar kerana penyakitnya memang sudah tidak mampu dirawat lagi.

Apapun, saya bersyukur kerana Allah masih mengizinkan saya keluar dari hospital dalam keadaan sihat. Meskipun doktor pernah berpesan mengingatkan bahawa apa yang menimpa saya itu mungkin akan berulang lagi selepas ini, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu Allah masih memberikan peluang kepada saya, sekurang-kurangnya hingga ke saat ini.

Peluang untuk kembali membersihkan diri. Peluang untuk kembali dekat dengan Dia.


Tidak Kena Bukanlah Lesen Untuk Alpa

Berbeza orang, berbeza cara Allah menyampaikan peringatan kematian kepadanya. Kita mungkin boleh katakan apa yang menimpa kita itu lebih susah daripada orang lain, tetapi hakikat kesusahan itu hanya Allah sahajalah yang mengetahui kadarnya.

Bukanlah kadar kesusahan itu yang menjadi persoalan utamanya, yang menjadi persoalan utamanya adalah banyak manakah kadar kesabaran dan hubungan kita dengan Allah ketika berdepan dengan kesusahan-kesusahan itu? Dan sebanyak mana pula kesusahan itu memberi kesan kepada kesedaran dan keinsafan diri kita untuk kembali kepada Allah?

Kadang, orang suka mencela dan mengeji kita bila kita ditimpa musibah setelah kita melakukan sesuatu kebaikan. Saya masih ingat terdapat beberapa orang yang menuturkan kata-kata tidak baik kepada saya selepas saya ditimpa suatu musibah bersama sahabat saya.

Dan saya pernah bersembang dengan beberapa orang sahabat saya tentang seorang guru saya yang telah diuji dengan pelbagai musibah setelah dia melakukan kebaikan yang besar, sehingga menyebabkan ramai yang menuturkan kata tidak baik dan mencela guru saya itu. Kata seorang sahabat saya, "Sekurang-kurangnya, dia sudah melakukan sesuatu yang besar. Dia manusia, memang dia akan silap. Kita ini belum diuji lagi. Kalau kita diuji sepertinya, kita pun tak tahu apa yang akan terjadi pada kita."

Memang benar.

Kadang, bila kita melihat orang lain dilanda musibah, seperti terlibat dalam kemalangan, jatuh dalam maksiat dan sebagainya, kita cepat sekali menghukum dan mencela dirinya. Kita terlupa barangkali apa yang menimpa dirinya itu sebenarnya adalah peringatan dari Allah untuk kita.

Ia mungkin datang kepada orang lain, tetapi ia sebenarnya adalah peringatan untuk kita.
Kita tidak diuji, tidak kena sepertimana dia kena, bukanlah bermaksud kita ini lebih baik dari dirinya. Bukanlah juga dia itu lebih teruk daripada kita. Tidak sama sekali.

Hanya sanya kita ini mungkin BELUM diuji sepertimana dia diuji. Dia telah pun diuji, dan di dalam ujian itu dia berjaya melepasinya. Dia bahkan selepas diuji itu semakin bertambah akrab dan dekat dengan Allah s.w.t.

Kita? Mungkin kalau kita yang diuji seperti itu, kita pun tidak mampu menghadapinya. Bahkan, mungkin pula kita ini akan semakin menjauh daripada Allah.

Sebab itu, saya suka katakan, kita ini tidak kena, ataupun tidak datang peringatan kematian langsung kepada kita, bukanlah lesen untuk kita menjadi hamba yang lalai dan alpa. Kadang ia datang kepada orang yang dekat dengan kita, tetapi tujuannya adalah untuk mengingatkan kita.

Hanya bila kita memandangnya dengan sebelah mata, kita akan melihat bahawa peringatan itu hanya untuk dia, bukanlah untuk kita.


Tanda Sayang Allah Sebenarnya

Ada orang yang telah berkali-kali sampai peringatan kematian pada dirinya. Meskipun angin kematian itu kencang bertiup di telinga kehidupannya, tetapi dia masih tetap diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan.

Itulah tanda sayang Allah sebenarnya. Masih memberikan peluang untuk kita memperbaiki saki baki kehidupan sebelum kita kembali kepada-Nya. Memohon ampun dan taubat atas kesilapan-kesilapan kita yang lepas. Memulakan kehidupan yang lebih baik dalam keadaan tunduk dan taat kepada Dia.

Itulah tanda Allah masih sayang. Allah masih sayang.

Allah ingin kita kembali kepada Dia dalam keadaan yang baik, dalam keadaan ketika mana kita berdepan dengan Dia nanti, Dia akan memberikan ganjaran yang akan membuatkan kita tersenyum selama-lamanya.

Sebab itulah, kita belum mati meskipun pernah terlibat dalam kemalangan yang teruk, kerana Dia masih memberikan peluang untuk kita kembali membersihkan diri kita. Kita tidak tenggelam terus dalam lubang maksiat meskipun pernah terjatuh di dalamnya kerana Dia masih memberikan peluang untuk kita bertaubat dan kembali kepada-Nya. Kita masih diberikan kesihatan setelah sakit yang kritikal kerana sayangnya Dia ingin melihat kita kembali dalam keadaan yang baik kepada-Nya suatu ketika nanti.

Maka, tanyalah pada diri kita. Apakah peluang ini telah kita gunakan sebaiknya?


Penutup : Apakah Akan Disiakan Segala Persinggahan Ini?

Semua yang berlaku dalam kehidupan kita, sama ada perkara itu susah, atau menyebabkan kita rasa dukacita dan rasa kehilangan, semua itu hanyalah persinggahan-persinggahan kematian yang didatangkan kepada kita untuk mengingatkan kita bahawa suatu hari nanti kita akan kembali jua bertemu dengan-Nya.

Saban hari peringatan itu berbisik di telinga kita, mengingatkan kita bahawa kita tidak punya cukup masa untuk kita mensia-siakan kehidupan yang hanya seketika ini. Mengingatkan kita bahawa kita akan segera pergi tidak lama lagi.

Maka, tanyalah pada diri kita apakah segala persinggahan kematian ini akan disiakan begitu saja tanpa kita mengambil pengajaran dan mempersiapkan diri kita menghadapinya?

Tanyalah diri kita. Apa yang kita akan bawa pulang di persinggahan terakhir kita nanti?
Semua manusia akan pulang. Tidak ada yang tidak pulang. Hanya yang membezakan kepulangan ini adalah bekal yang kita bawa.

Kalau kita bawa bekal yang baik, maka baiklah dan tersenyumlah kita di depan Allah nanti.
Kalau kita bawa bekal yang buruk, maka kitalah yang menanggung akibatnya nanti.

Maka, janganlah disiakan segala peringatan di persinggahan kematian ini. Kita mungkin ada hari ini, tetapi hari esok belum pasti lagi. Sebelum segalanya menjadi sia-sia, maka kembalilah segera.

by Afdholul Rahman Che Ani

Written by

1 comment:

Terima Kaseh Untuk Respon & Komen

Ana Hamster Periang

There was an error in this gadget