hanyapadailahi on FB

Jika cinta kpd manusia menjauhkn kita dr Allah, maka cinta itu adalah palsu..[Ustaz Hasrizal Abdul Jamil]:::Sempurnakan dakwahmu walau ia sekecil perkara"

Sukarkah Mencari Sahabat Sejati?

Persahabatan itu fitrah


Sahabat itu secara fitrahnya, manusia perlukan sahabat. Tak kiralah sama ada sahabat sebagai isteri mahupun kawan sebagai seorang sahabat. Manusia diciptakan tidak sempurna kerana kesempurnaan hanya milik Allah SWT. Saya yakin, anda pun tahu. Oleh itu, kita memerlukan sahabat sebagai pelengkap kepada kelemahan kita. Penguat saat kita lemah. Menghulurkan tangan saat kita jatuh. Penghibur saat kita berduka.
Saya juga mengimpikannya dan ingin merasainya. Manisnya saat berukhuwah. Berukhuwah dengan ibubapa, abang dan adik, jiran tetangga, sahabat, rakan sekolah, guru, dan masyarakat kerana-Nya. Tapi saat ini, kita belajar di alam IPT. Maka itu, kecenderungan hubungan ukhuwah kita hanya kepada rakan-rakan atau sahabat. Berjuang bersama-sama mencapai cita-cita dijalan-Nya. 'Cemerlang Akademik dan Cemerlang Dakwah.'

Sahabat umpama pesaing

Allah SWT berfirman yang bermaksud;
"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
(Surah Al-Baqarah ayat1 148)
Sahabat umpama pesaing. Bersaing antara satu sama lain ke arah satu matlamat. Berlumba-lumba dalam kebaikan. Hanya mencari redha-Nya. Menjalinkan ukhuwah kerana-Nya. Dengan mengharapkan cintanya sampai ke syurga.
Alhamdulillah, saya pernah mengalami situasi ini. Bahkan setiap hari saya merasainya. Berlumba-lumba dalam kebaikan. Kekadang teringat juga kisah para sahabat. Kisah Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar. Mereka bersahabat dan berlumba-lumba dalam mengejar kebaikan. Saya seolah-olah mengalami kisah yang sama. Namun, kisah persembahan yang berbeza daripada kisah sahabat Rasulullah SAW .
Saya tercabar apabila melihat sahabat saya melakukan amal ibadah. Maksudnya saya bukanlah hendak menghalang dan memudaratkannya daripada melakukan amal ibadah. Apatalagi mengancam untuk berhenti mengerjakannya. Akan tetapi saya seakan-akan mendapat aura dan kuasa apabila melihat sahabat saya selalu membaca al-quran. Pantang ada masa lapang. Al-Quranlah yang akan dibacanya.

 Sejak belakangan ini, saya sering bertanya jumlah juz bacaan al-qurannya. Jawapan yang diberi adalah selalu diluar jangkaan. Selalu saja dia lebih banyak daripada bacaan saya.
Saya teringat kata-katanya ramadhan lepas. Ketika itu puasa yang keenam. Katanya.
"Akhi, ana lihat anta ni lebih banyak baca buku daripada baca al-Quran."
Mendengarkan kata-kata itu, saya terjeda. Diam seribu bahasa.
'Benar katamu akhi' Hatiku berdesis.
Mulai saat itu, saya mula menanamkan azam. Azam untuk membaca al-quran dengan banyak dan memahami terjemahannya. Saya juga yakin dan berani menetapkan target bulan ramadhan iaitu mengkhatam al-Quran 30 Juzuk. Maklumlah bacaan al-Quran saya tidak lancar dan tersekat-sekat.
Namun, saya terus menguatkan azam dan tidak memberi alasan. Dengan berbekalkan keyakinan kepada Allah SWT dan kata-kata motivasi daripada sahabat saya. Alhamdulillah dengan izin Allah, saya berjaya mengkhatam al-Quran 30 Juzuk.
Doakan semoga semua amal ibadah kita niat ikhlas kerana Allah SWT.
Teringat pula hadits Rasulullah SAW berkenaan dengan niat. Beliau bersabda yang bermaksud " terimanya amalan anak adam itu bergantung apa yang diniatkannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Terima kasih Allah.
Terima Kasih Sahabat.
Banyak lagi kisah-kisah sahabat saya menyebabkan diri sentiasa disaingi. Persaingan yang sehat dalam beramal ibadah. Beribadah hanya mencari keredhaan-Nya.

Hakikat seorang sahabat
Sahabat sebenarnya ada dua macam iaitu sahabat yang membawa kita ke syuga dan sahabat yang akan mengcampakkan kita ke dalam neraka. Namun, hakikat sahabat hanya ada satu iaitu sahabat yang akan membawa kita ke syurga.
Sahabat jenis ini membuatkan kita sering mengingati Allah SWT. Apabila kita banyak mengingati Allah SWT, Hati akan menjadi tenang.
Sebagaimana firman-Nya lagi yang bermaksud;
"..perbanyakkanlah mengingati Allah SWT, kerana dengan mengingati Allah SWT, hati akan jadi tenang.."
(Surah Ar-Rad'  ayat 28)
Itulah hakikat seorang sahabat. Susah senang setia bersama. Berasa tenang ketika bersama. Berasa kekurangan ketika terpisah. Semua itu terjadi jika bahan binaannya adalah iman. Apabila ikatan ukhuwah atas dasar iman.
Yakinlah firman Allah SWT yang bermaksud;
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."
(Surah ali Imran ayat 103)
Bersahabatlah semata-mata mencari redha Allah SWT. Tidak lebih dari itu! Nescaya Allah SWT akan menenangkan jiwamu. Meneguhkan kedudukanmu. Merapatkan saf atau barisan dakwahmu agar tercapai impianmu iaitu mati syahid dijalan-Nya.
Bagaimana dengan anda?
Sudahkah anda menemui sahabat seperti ini. Jika belum lagi, jangan berputus asa. Teruskan memperbaiki diri. Memohon doa kepada Allah SWT. InsyaAllah, Allah SWT akan menghadiakan sahabat yang soleh untukmu.
Yakinlah.
  

Tip menjadi sahabat

Dalam membina persahabatan, terdapat beberapa tip menjadi sahabat sejati dan mendapatkan sahabat sejati. Bukan main hentam saja. Sebab itulah ada sesetengah kawan kecewa dalam persahabatan. Kecewa seperti putus cinta dan ditinggalkan kekasih. Seakan-akan kawan sedia ada tidak wujud baginya kerana sahabat yang disayanginya pergi meninggalkannya.
Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada diri kita. Maka itu, kita mesti ada resepi-resepi untuk membina persahabatan. Antaranya ialah;
-Bersahabat kerana Allah SWT.
Dalam persahabatan kita perlu ikhlas. Ikhlas ini hadir apabila niat dan hati kita bersih. Bersih daripada perkara-perkara yang Allah SWT tidak redha. Bersahabat kerana Allah SWT bukan kerana harta, kepintaran, keturunan, nafsu syahwat, pengaruh, kuasa dan sebagainya. Kita bersahabat untuk mendapatkan pahala daripada Allah SWT bukannya mengharapkan kebaikan kita dibalas oleh sahabat kita.
-Bersahabat perlu berlapang dada.
Sahabat adalah orang yang sangat rapat dengan kita. Boleh dikatakan aktiviti harian kita diketahuinya. Kekadang kita banyak persamaan dengannya seperti makanan dan minuman kegemaran, sukan, hobi dan prinsip hidup.
Oleh itu, hati kita mudah tersentuh dan terguris apabila sahabat kita berubah perilaku dan berkasar bahasa dengan kita. Jadi, cara untuk mengatasi masalah hati ini agar tidak terkecewa dan persahabatan terus berkekalan ialah berlapang dadalah. Cubalah untuk memahami. Berdoalah kepada Allah SWT agar persahabatan itu berkekalan.
-Mampu beritsar dalam persahabatan.
Itsar merupakan peringkat Ukhuwah (persahabatan) yang tertinggi. Itsar bermaksud melebihkan sahabatnya berbanding dirinya sendiri. Mampu tak! Saya yakin kita mampu buat. Apa penting teruskan pergantungan kepada Allah SWT dan berusaha mencapai ke arah itu.
Ini pernah dibuktikan oleh kaum Ansar dengan kaum Muhajirin semasa peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.
Bagaimana dengan diri kita?
Mampukah?
Terserah kepada diri masing-masing. Sekiranya bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Tidak mustahil anda akan mendapatkannya.
-Wujud kefahaman yang sama berkenaan makna persahabatan.
Ada juga antara kita masih kurang memahami erti persahabatan. Ada juga memahami erti persahabatan tetapi kefahamannya hanya untuk dirinya. Manakala sahabatnya pula tidak memahami erti persahabatan. Pendek kata 'bertepuk sebelah tangan, tidak  mungkin berbunyi.'
Kita sudah berbaik dengannya, tetapi dia tidak menghiraukan kita. Kekadang, kehadiran kita tiada erti baginya.
Sekiranya kita berhadapan situasi ini. Saya sarankan jangan cepat menghukum dan berputus asa. Kemudian nekad tidak mahu mencari sahabat. Jangan begitu kawan.
Mungkin dia tidak faham maksud kita bersahabat dengannya atau dia tidak tahu apa erti persahabatan dalam kehidupan.
Jadi, peranan kita yang tahu erti persahabatan, fahamkan apa itu persahabatan. Kenapa perlu ada sahabat. Banyak lagi cara yang boleh kita gunakan seperti hadiahkan buku berkenaan kisah persahabatan, ajak makan bersama, beriktikaf bersama, dan jalan-jalan bersama. InsyaAllah, sekiranya perkara tersebut dilakukakan hanya mencari keredhaan Allah SWT. Tidak mustahil anda akan bahagia dan tenang bersama sahabat anda.
Begitu juga dengan mereka yang tidak faham erti persahabatan. Jangan duduk diam. Berusaha dan korbankan sedikit masa membaca buku dan artikel berkenaan persahabatan. Aktif bertanya jika perlu.
InsyaAllah anda akan menemui nilai persahabatan.
Selamat Mencuba!
Doaku, buatmu sahabat
Ya Allah jernihkan niatku.
Ya Allah, aku insan yang lemah memerlukan pertolongan makhluk setelah memohon dengan-Mu.
Ya Allah, kini aku berada jauh daripada keluarga tercinta.
Aku hanya berharap perhatian dari-Mu.
Namun, aku inginkan teman sebagai sahabat.
Saat aku diberjauhan dengan keluarga tercinta,
Aku ingin berdamping dengannya, agar aku kuat menghadapi dugaan dijalan-Mu.
Ya Allah, aku hanya hamba-Mu yang tidak sempurna dan serba kekurangan.
Maka itu,Ya Allah, Hadirkanlah seorang sahabat yang soleh untukku.
Seorang sahabat sebagai pelengkap akan kekuranganku.
Amien Ya Rabbal 'alamin.
Bersahabatlah kerana Allah SWT, kerana Allah SWT pemilik sekalian makhluk. Dialah yang menemukan kita dengan sahabat sejati kita.
- Artikel iluvislam.com


Written by

1 comment:

  1. adush... taip pnya laa pnjang, tiba2 komen terpadam semua..huhu... malas dh laa nk taip smula.. maybe Allah x izin.. so far, sahabat yg benar2 sahabat adalah dia yg memimpin ke syurga, dia yg mencorakkan persahabatn ini berpaksikan iman dan taqwa kpdNya... dialah sahabat sy.. =)

    ReplyDelete

Terima Kaseh Untuk Respon & Komen

Ana Hamster Periang

There was an error in this gadget