~~~Mula Marifah Akan Allah~~~




Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati-hati hambaNya. Selawat dan Salam atas Nabi al-Mukhtar Muhammad al-Mustofa. Awal kalam, suka saya bercerita tujuan saya menulis blog ini. Blog ini ditulis setelah sahabat saya mengadu atau memberi kritikan atau meminta tolong kepada saya berkenaan bahan bacaan berkenaan ilmu Tauhid atau Aqidah atau Usuluddin yang ternyata kurang dalam laman-laman blog yang ada dasawarsa ini. Maka digerakkan jari jemari, ditiup tekad, semangat dan azam oleh Allah untuk saya mengambil peranan Fardhu Kifayah( Saya buat orang lain tak payah) dalam bab penyebaran dan perbincangan bahagian Tauhid di sini.
Adapun awal-awal agama itu mengenal akan Allah (Makrifah Allah) seperti sabda nabi s.a.w. :
أَوَّلُ الدِّين مَعْرِفَةُ اللَّه
"Mafhumnya; Awal-awal(permulaan) bagi agama itu ialah makrifah (kenal) akan Allah."

Bagi mengenal Allah pula, manusia itu mahu atau tidak mesti mengenali akan hakikat dirinya dan kejadian alam ini kerana alam kejadian itulah cermin atau punca bagi manusia mengenal akan Allah. Sabda Nabi s.a.w. lagi;
مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ وَخَالَفَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ وَتَابَعَهُ
"Mafhumnya; Barang siapa telah mengenal dirinya dan alam ini kemudian menentang atau menolaknya maka dia telah mengenali akan Tuhannya iaitu Allah dan mengikut segala aturanNya"

Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dengan lembaga Adam a.s. itu sebagai khalifah pertama dan segala kejadian hormat sujud kepada baginda. Sesungguhnya Allah menjadikan lembaga Adam a.s. itu daripada 14 jenis tanah iaitu 7 tanah Dunia dan 7 tanah Akhirat. Barang siapa kenal, musyahadah (nampak) dan mujahadah akan dirinya pasti dia akan sampai kepada mengenali akan Allah.

Kata Ibnu Abbas r.a.:

  1. Kepala Allah jadikan daripada tanah Baitul Maqdis, tempat akal(fikir) dan berkata-kata.
  2. Muka Allah jadikan daripada tanah Syurga, tempat segala kecantikkan dan perhiasan.
  3. Dua telinga Allah jadikan daripada tanah Bukit Thursina, tempat mendengar segala nasihat.
  4. Kening dan belakang daripada tanah Irak, tempat sujud kepada Allah.
  5. Gigi daripada tanah al-Khausar, tempat bagi segala manisan.
  6. Tangan serta anak jari sebelah kanan daripada tanah Kaabah, tempat berkat dan pertolongan.
  7. Tangan serta anak jari sebelah kiri daripada tanah Paris, tempat bersuci dan Istinjak.
  8. Dua kaki serta betis daripada tanah Hindi, tempat berjalan.
  9. Tulang daripada tanah Jabal(bukit) Qaf, tempat tunjang dan keras.
  10. Zakar serta urat daripada tanah Babilon, tempat Syahwat, dengki dan tipu daya.
  11. Perut daripada tanah Khurasan, tempat bagi kelaparan.
  12. Hati daripada tanah Jannatul Firdaus, tempat bagi iman dan yakin.
  13. Lidah daripada tanah Thaif, tempat Syahadah. Tadhorruq dan doa.
  14. Dua mata daripada tanah al-Hauth, tempat elok dan memperelokkan.
(Hikayat) Pada suatu masa zaman pemerintahan Abbasiah di Baghdad. Terdapat seorang atheis(tidak percaya kewujudan tuhan) dari kerajaan Rom datang ke sana dan mempertikaikan kewujudan tuhan. Si atheis mengatakan alam ini jadi dengan sendirinya iaitu melalui proses semulajadi alam tanpa ada yang menjadikan alam ini. Menjadi huru-hara lah di dalam kota Baghdad oleh kerana dalil-dalil akal Si Atheis itu tidak dapat dipatahkan oleh ulama-ulama yang sudah berdebat dengannya. Allah berkehendak dengan sifat IradahNya untuk mengangkat darjat Imam Ahmad bin Hanbal maka suatu perdebatan atau perbahasan diatur antara Imam Ahmad bin Hanbal dan si Atheis. Apabila perbahasan dimulakan Imam Ahmad bin Hanbal sampai lewat beberapa jam selepas masa dijanjikan, maka inilah satu kesalahan yang menjadi kelebihan untuk si Atheis mempertikaikan peribadi Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Ahmad menjelaskan kenapa beliau lewat tiba seperti masa yang telah ditetapkan; 

"Semasa aku ingin melintas sungai Furat (Euphrates) tidak ada sampan atau perahu di situ. Aku pun menunggu dalam suatu tempoh masa yang agak lama, tiba-tiba datang satu papan kemudian datang lagi papan-papan yang lain sehinggalah menjadi sebuah sampan dan dapatlah aku datang ke sini. Sunngguh ajaib perkara itu."

Maka jawab si Atheis;

"Ini semua mengarut, dongeng! Mana boleh diterima pada akal sampan itu boleh terjadi dengan sendirinya. Perkara ini mustahil."

Kata Imam Ahmad;

"Sampan yang kecil dan mudah untuk dibina, tidak mampu kamu terima pada akal dibina dengan sendiri. Inikan pula alam ini yang tersusun setiap kejadiannya mestilah ada yang menjadikannya iaitu Allah."

Kelulah lidah si Atheis dan matilah hujah-hujahnya dengan Karamah(kemuliaan) dan kebijaksanaan Imam Ahmad Bin Hanbal.

Sesungguhnya permulaan ilmu tauhid untuk mengenal akan Allah ialah HUKUM AKAL dan perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut pada perbincangan akan datang. In Shaa Allah. 

No comments

Powered by Blogger.